Friday, July 23, 2010

nasi tomato - resepi lama

beberapa hari lagi kita akan menyambut Aidil Fitri. Oleh itu disini saya ingin berkongsi dengan anda resepi yang saya rasa istimewa untuk dihidangkan sebagai juadah di pagi raya. Saya tidak pasti jika ada perbezaan antara resepi nasi tomato dahulu (sekitar 50an) dan sekarang. Cubalah resepi ini yang saya petik dari buku resepi 50an ibu saya. Mana tahu mungkin ia memberikan hasil yang lebih sedap.

Bahan-bahan
1 cupak beras siam yang baik
2 camca besar minyak sapi
1/2 tin mentega
1/2 lb atau 1 tin kecil susu cair cap Peladang (masih adakah lagi susu cap ini?)
1/4 botol tomato botol buatan Amerika atau Libya (mungkin tomato sos)
3 inci panjangnya halia sebesar ibu tangan
1/2 biji bawang besar
4 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
5 kuntum bunga cengkih
6 biji buah pelaga
2 inci panjangnya kulit kayu manis
3 pelepah daun saderi
1 botol kecil air mawar yang baik
1 camca teh aji-no-moto
garam secukup rasa

Cara membuatnya
1) Basuh beras bersih-bersih.
2) Hiris bawang besar, bawang merah dan bawang putih.
3) Tumbuk halia sehingga lumat dan ambil perahan airnya sahaja.
4) Jerangkan periok, masukkan minyak sapi, setelah pijar masukkan mentega dan kacau rata. Tumis hirisan bawang, cengkih, pelaga, kulit kayu manis dan garam dan kacau rata.
5) Apabila bahan tumisan layu, masukkan air halia dan secupak air. Kemudian masukkan susu, aji-no-moto dan daun sadri dan biarkan mendidih.
6) Setelah mendidih masukkan tomato dan kacau rata, kemudian masukkan beras dan biarkan ia mendidih. Apabila nasi tersebut hampir kering masukkan air mawar, kacau rata kemudian ditutup periok. Biarkan selama 20 minit. Buka penutup, karis (kacau) nasi kemudian biarkan ia masak dan kering.

No comments:

Post a Comment